Lebih Banyak Hak Pengguna yang Perlu Anda Ketahui

0 comments

Hak-hak Sebagai Pengguna :
Selain daripada hak pengguna yang pernah disebutkan sebelum ini, Pertubuhan Antarabangsa Hak-hak Pengguna (IOCU) telah mengembangkan lagi hak-hak pengguna iaitu:


Hak Mendapat Keperluan Asas
Pengguna berhak mendapatkan barang-barang dan perkhidmatan asas bagi menjamin kehidupan yang memuaskan. Keperluan asas yang dimaksudkan termasuklah makanan yang mencukupi dan selamat, pakaian, tempat kediaman, kemudahan kesihatan dan pendidikan.

Hak Mendapat Gantirugi atau Pampasan
Pengguna berhak untuk mendapatkan ganti rugi atau pampasan bagi sebarang pembelian keluaran yang cacat atau berbahaya serta pampasan bagi apa jua perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak mengikut perjanjian. Pampasan harus diberi jika mana-mana keluaran atau perkhidmatan yang telah mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya walaupun telah digunakan mengikut arahan. Ganti rugi yang sewajarnya juga perlu diberi kepada pengguna yang ditimpa kecelakaan di tempat kerjanya akibat kecuaian majikannya.

Hak Mendapat Pendidikan Pengguna
Hak untuk mendapatkan pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi pengguna yang bermaklumat sepanjang hayat.

Hak Mendapat alam Sekitar yang Sihat dan Selamat
Pengguna berhak untuk hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang merbahaya. Hak ini perlu diperjuangkan oleh pengguna memandangkan keadaan alam sekitar kita yang semakin tercemar.


Ketahui Hak Anda Sebagai Pengguna

0 comments
Apa yang dikatakan sebagai hak?
Menurut istilahnya, hak dikatakan sebagai suatu kuasa, keupayaan dan kemahuan yang dipunyai oleh seseorang. Malah, ia boleh dikatakan sebagai suatu kepentingan yang dipertahankan oleh undang-undang.


Sejarah Penggubalan Hak Pengguna

Pengiktirafan hak pengguna telah diperkenalkan buat pertama kalinya oleh bekas Presiden Amerika Syarikat iaitu mendiang John F. Kennedy, apabila beliau mengisytiharkan "Deklarasi Hak Pengguna" bagi rakyat dalam negara demokrasi. Pengisytiharan tersebut dilakukan selepas beliau membentangkan usul perundangan bagi perlindungan pengguna kepada Kongres Amerika Syarikat pada 15 Mac 1961. Sempena tarikh pengisytiharan tersebut, "Hari Hak-hak Pengguna Dunia" mula disambut pada 15 Mac 1983 dan acara ini disambut pada setiap 15hb Mac setiap tahun. Pada 10 April 1985, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan "Garis Panduan Perlindungan Pengguna" bagi memperkembangkan lagi perlindungan pengguna dan menegakkan hak-hak pengguna.

Deklarasi Hak Pengguna
Melalui deklarasi ini, terdapat empat hak pengguna yang telah diisytiharkan iaitu:

1. Hak Mendapat Keselamatan
Pengguna dilindungi daripada pemasaran barangan yang boleh membahayakan kesihatan dan
nyawa.

2. Hak Mendapat Penerangan
Pengguna dilindungi daripada penerangan, pengiklanan, perlabelan dan amalan lain yang
palsu, menipu atau menyeleweng tetapi sebaliknya diberi maklumat-maklumat yang perlu
untuk membuat pilihan dengan penuh bermaklumat dan bijak.

3. Hak Mendapat/ Membuat Pilihan
Pengguna tidak boleh dipaksa untuk membeli sesuatu yang dicurigainya. Seseorang itu
mempunyai hak pilihan membeli makanan/ bahan gunaan atau memilih menggunakan
perkhidmatan atau tidak.

4. Hak Mendapat Pendengaran/ Perwakilan/ Bersuara
Pengguna berhak untuk menyuarakan pendapat sama ada secara individu atau melalui
perwakilan. Dengan demikian kepentingan pengguna akan mendapat pertimbangan
sewajarnyadalam menentukan dasar-dasar kerajaan bahkan juga dasar-dasar pengeluaran
dan pemasaran syarikat-syarikat swasta.