Dasar Pengguna Negara bertujuan menggalakkan keseimbangan hak dan tanggungjawab di kalangan dan di antara pengguna, pembekal/pengilang dan Kerajaan dalam melaksanakan peranan masing-masing, menggalakkan penggunaan lestari (sustainable consumption) di kalangan pengguna dan pembekal/pengilang ke arah memelihara kedaulatan Negara serta prinsip Agama untuk mencapai Wawasan Negara dalam menjamin kesejahteraan dan kebajikan pengguna dalam era globalisasi.
Dasar Pengguna Negara memberi fokus terhadap usaha-usaha tiga pihak, iaitu melalui perlindungan kendiri (self-protection) di kalangan pembekal/pengilang dan penglibatan Kerajaan melalui peningkatan tahap perlindungan pengguna yang berkesan. Ini boleh dicapai dengan mewujudkan susasana yang harmoni untuk menggalakkan keseimbangan hak dan tanggungjawab di antara pengguna, pembekal/pengilang dan Kerajaan dengan memantapkan bidang perundangan, amalan perdagangan, pendidikan, kesihatan, kemudahan awam dan lain-lain bidang yang berkaitan.
Tribunal Tuntutan Pengguna adalah satu badan yang telah ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang mula berkuatkuasa pada 15 November 1999. Bahagian XII akta mengandungi 38 seksyen yang menyentuh tentang pelbagai aspek Tribunal seperti keanggotaan, bidangkuasa dan prosiding Tribunal.
Terdapat undang-undang yang diguna pakai berhubung kepenggunaan. Seksyen 3 & 5 Akta Undang-undang Sivil 1956 memperuntukkan bahawa Common Law dan statut dari England diguna pakai apabila tida statut tempatan.
Pembelian Barangan Oleh Pengguna Dua statut utama yang diguna pakai adalah Akta Kontrak 1950 dan Akta Jualan Barangan 1957. Kedua-dua statut ini mengkanunkan prinsip-prinsip kontrak dalam Common Law dan ia terpakai dalam semua kontrak yang dimasuki oleh pengeluar dan pengguna. Akta Jualan Barangan 1957 berasaskan statut yang sama namanya dari England pada 1893. Ia telah digantikan dengan Akta Jualan Barangan UK 1979. Pindaan-pindaan yang terdapat pada akta ini tidak dimasukkan ke Akta Jualan Barangan 1957. Undang-undang Malaysia tidak mengawal selia kontrak berat sebelah. Statut-statut telah digubal untuk mengawal selia kontrak pembelian rumah, jualan langsung dan sewa beli. Hal ini berterusan sehinggalah Akta Perlindungan Pengguna 1999 digubal.
Pemerihalan Dagangan Akta yang mengawal selia mengenai pemerihalan dagangan dan pengiklanan ialah Akta Perihal Dagangan 1972. Ia tidak terpakai kepada harta tak alih serta pemakaiannya terhad kepada apa-apa pernyataan yang dibuat ketika transaksi dilakukan. Pernyataan atau nasihat yang diberi oleh golongan profesional tidak dikawal selia oleh akta ini. Akta ini mengenakan tindakan ke atas mana-mana pernyataan salah atau palsu berkaitan bahan dagangan. Akta ini juga tidak memperuntukkan bagi mangsa penipuan atau penyelewengan maklumat oleh peniaga dibayar gantirugi. Kuasa kawalselia diberikan secara meluas kepada Kementerian Penerangan dan Kementerian Dalam Negeri.
Akta Perlindungan Pengguna 1999 Perancangan berkenaan akta ini mengambil masa hampir 15 tahun dan ia diwartakan pada 15 November 1999. Ia mengandungi 14 bahagian dan 150 seksyen yang mengandungi isu perundangan yang tidak dirangkum oleh akta-akta lain. Berikut ialah kandungan Akta Perlindungan Pengguna 1999:
Bahagian II : Maklumat palsu dan amalan tidak adil
Bahagian III : Keselamatan barangan dan perkhidmatan
Bahagian IV : Kesalahan-kesalahan
Bahagian V : Jaminan pembekalan barangan dll
Akta ini juga memperkenalkan satu badan yang akan menangani masalah pengguna. Ia dinamakan Tribunal Tuntutan Pengguna. Tribunal berhak mendengar tuntutan yang berjumlah tidak lebih daripada RM10 ribu dan pihak-pihak yang terlibat tidak boleh diwakili oleh peguamcara dan peguambela.