Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)

Latar Belakang

Tribunal Tuntutan Pengguna adalah satu badan yang telah ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang mula berkuatkuasa pada 15 November 1999. Bahagian XII akta mengandungi 38 seksyen yang menyentuh tentang pelbagai aspek Tribunal seperti keanggotaan, bidangkuasa dan prosiding Tribunal.




Objektif Penubuhan Tribunal
  1. Sebuah badan bebas untuk mendengar dan mengadili tuntutan-tuntutan pengguna yang dibuat di bawah akta dan tertakluk kepada peruntukan Akta Perlindungan Pengguna 1999.
  2. Menyediakan satu saluran atau kemudahan alternatif kepada seorang pengguna untuk menuntut ganti rugi dan pampasan daripada seorang pembekal atau pengilang dengan cara mudah, murah dan cepat.

Keanggotaan Tribunal

Seksyen 86 akta memperuntukkan bahawa tribunal hendaklah dianggotai oeh seorang Pengerusi dan seorang Timbalan Pengerusi (terdiri daripada pegawai-pegawai daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan) dan tidak kurang daripada 5 orang anggota Tribunal yang lain dilantik oleh Menteri.

Bidang Kuasa Tribunal



Tribunal mempunyai bidang kuasa mendengar:

a) apa-apa tuntutan mengenai perkara-perkara yang ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar seperti diperuntukkan di bawa akta ini;
b) di mana jumlah amaun yang dituntut tidak melebihi RM25,000.00;
c) apa-apa perkara lain yang ditetapkan oleh Menteri melalui perintah yang disiarkan dalam Warta.

Bidang kuasa Tribunal hendaklah dilaksanakan oleh Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan mana-mana anggota yang dipilih oleh Pengerusi yang akan bersidang sendirian.


Batasan Bidang Kuasa

Tribunal tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar apa-apa tuntutan:

a) yang berbangkit daripada kecederaan diri atau kematian;
b) bagi mendapatkan kembali tanah atau apa-apa estet atau kepentingan mengenai tanah;
c) yang mempersoalkan hakmilik-hakmilik tanah atau apa-apa estet atau kepentingan mengenai tanah, atau apa-apa francais; dan
d) yang mempunyai pertikaian mengenai :

i. hak di bawah satu wasiat atau peruntukan;
ii. nama baik;
iii.apa-apa hak dalam tindakan;
iv.rahsia perdagangan atau harta intelek;

e) apabila mana-mana tribunal telah ditubuhkan melalui mana-mana undang-undang bertulis lain untuk mendengar dan memutuskan tuntutan-tuntutan tentang perkara yang menjadi hak perkara tuntutan itu.


Jenis Tuntutan Yang Boleh Dikemukakan ke Tribunal

  1. Perlakuan mengelirukan dan memperdaya representasi palsu dan amalan tak saksama;
  2. Keselamatan barang dan perkhidmatan;
  3. hak terhadap pembekal berkenaan dengan gerenti tersirat berkaitan dengan pembekalan barang-barang;
  4. Hak terhadap pembekal berkenaan dengan gerenti tersirat berkaitan dengan pembekal perkhidmatan;
  5. hak terhdap pengilang berkenaan dengan gerenti nyata berkaitan dengan pembekalan barang-barang;
  6. hak terhdap pengilang berkenaan dengan gerenti tersirat berkaitan dengan pembekalan barang-barang.
Untuk tujuan perkara-perkara di atas, perkataan 'barang' ertinya barang yang terutamanya dibeli atau digunakan bagi maksud diri, rumah tangga atau isi rumah dan termasuklah :-

(a) barang yang dipasang pada, atau digabungkan dalam, apa-apa harta tak alih atau harta alih;
(b) haiwan, termasuk ikan;
(c) vesel atau kenderaan;
(d) kemudahan dan;
(e) pokok, tumbuh-tumbuhan dan tanaman sama ada atau tidak di atas, di bawah atau terlekat pada tanah, tetapi tidaklah termasuk hak dalam tindakan, termasuk surat cara boleh niaga, syer, debentur dan wang.

Contoh kes yang boleh dituntut melalui Tribunal Tuntutan Pengguna:


Kes 1:
Sandra telah memasuki program 10 sesi untuk melangsingkan badan yang ditawarkan oleh Syarikat N dengan bayaran sebanyak RM3,600.00. Malangnya setelah menghabiskan 10 sesi selama satu setengah bulan, berat badan Sandra hanya susut 1.2 kg dan pengurangan sebanyak 2 cm sahaja di bahagian pinggang. Sandra merasakan hasil sebegini tidak patut berbanding bayaran yang dikenakan. Sandra dinasihatkan oleh Syarikat N bahawa lemak sudah banyak terkumpul di badannya, maka untuk menghapuskannya beliau perlu melalui beberapa sesi lagi dan untuk itu Syarikat N memberi tawaran diskaun untuk sesi seterusnya. Sandra berasa amat marah lalu menolak tawaran tersebut kerana sudah hilang keyakinan terhadap Syarikat N.
Kemudian Sandra pergi menyertai program yang serupa di Syarikat R pula dan perbezaan berat badan yang ketara kelihatan setelah melalui 10 lagi sesi melangsingkan badan dengan hanya membayar RM888. Sandra telah memfailkan tuntutan di Tribunal terhadap Syarikat N.
Award: Syarikat N telah memulangkan balik sepenuhnya wang Sandra sebelum pendengaran.

Sumber: http://ttpm.kpdnkk.gov.my

0 Response to "Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)"

Post a Comment